DOA yang paling AFDHAL di Bulan RAMADHAN.

DOA YANG PALING AFDHAL DI BULAN RAMADAN

Doa yang sering kita baca di bulan Ramadan dan semakin diperbanyakkan di sepuluh Ramadan yang terakhir adalah doa :
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
''Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan suka memberi keampunan maka ampunilah aku.''
Doa ini merupakan wasiat daripada Nabi Muhammad صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ kepada isteri Baginda Sayyidatina Aisyah jikalau beliau bertemu Lailatul Qadar.
Antara faedah dan hikmah yang dapat kita fahami daripada doa ini ialah:-
1. Penyebutan secara khusus nama Allah SWT العفو (Yang Maha Pengampun) dalam doa ini merupakan isyarat bahawa malam lailatul qadar ialah malam yang akan diampunkan segala dosa-dosa.
2. Juga pada doa ini terkandung pengiktirafan diri hamba yang lemah yang telah melakukan dosa kepada Tuhan Yang Maha Agung. Dengan mengakui kesilapan dan kekurangan ini menjadikan hamba itu merendah diri memohon keampunan daripada Allah SWT.
3. Seterusnya pada lafaz تُحِبُّ الْعَفْوَ (engkau suka memberi keampunan) merupakan sebuah husnuzzan (sangka baik) kepada Allah. Maka Baginda menyuruh agar hati orang orang beriman ini bersangka baik dan berharap kepada PengampunNya walaupun sebesar mana dosa yang dilakukan.
4. Penekanan kepada doa ini oleh Nabi صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ merupakan penzahiran kefakiran dan kerendahan diri seorang hamba kepada TuhanNya dan kebergantungan yang sentiasa kepada rahmatNya.
5. Seterusnya kita perhatikan kepada lafaz العفو bermaksud keampunan. Di sana terdapat satu lagi perkataan yang juga membawa maksud keampunan iaitu المَغفِره. Tetapi dalam doa ini kenapa digunakan perkataan العفو tidak المَغفِره?
6. Kalimah المَغفِره bermakna pengampunan tetapi dosa tersebut masih lagi tertulis di buku catatan amal.
7. Manakala العفو bermakna pengampunan yang disertai penghapusan dari buku catatan amal dan menjadikan seolah-olah dosa tersebut seperti tidak pernah wujud!
وقال محمد منير الدمشقي في الإتحافات السنية : العفو في حق الله تعالى عبارة عن إزالة آثار الذنوب بالكلية فيمحوها من ديوان الكرام الكاتبين، ولا يطالبه بها يوم القيامة، وينسيها من قلوبهم، لئلا يخجلوا عند تذكيرها، ويثبت مكان كل سيئة حسنة، والعفو أبلغ من المغفرة، لأن الغفران يشعر بالستر، والعفو يشعر بالمحو، والمحو أبلغ من الستر.
Berkata Syeikh Muhammad Munir Ad-Dimasyqi dalam kitab Al-Ithafat Al-Saniah :
''Al-Af'wu العفو di sisi Allah SWT adalah menghilangkan kesan dosa secara keseluruhan dan menghapuskannya dari catatan para malaikat pencatat dan tidak bertanyakannya di hari akhirat dan melupakannya dari hati hati mereka agar mereka tidak merasa malu ketika peringatannya di hari akhirat dan agar digantikan setiap kesalahan dengan kebaikan.
Seterusnya Al-Af'wu العفو lebih mendalam maknanya daripada al-maghfirah المغفرة kerana al-maghfirah difahami dengan makna penutupan manakala al-af'wu difahami dengan makna penghapusan.
Sesungguhnya penghapusan dosa itu adalah lebih besar daripada penutupannya.''
Allahuakbar...
8. Apakah lagi perkara yang lebih baik daripada diampunkan dosa serta dipadamkan rekod dari buku catatan amal. Sehingga apabila menghadap Allah di hari akhirat kelak tidak disebut dosa dosa tersebut dihadapanNya dan dihadapan para makhluknya yang lain?
9. Maka ini adalah antara hikmah kenapa Nabi Muhammad صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ mewasiatkan kepada kita agar memperbanyakkan menyebut doa ini sepanjang bulan Ramadan khususnya di 10 hari yang terakhir.

Post a Comment

0 Comments