QALBUN SALIM





QALBUN SALIM



Permulaan bagi jiwa seorang sufi apabila mereka senantiasa cinta kepada kefakiran dan tidak suka kepada kemuliaan diri. Mereka lebih suka dipandang hina daripada dipandang mulia, suka kepada celaan daripada pujian. Memakai pakaian cinta, kerendahan diri, menjauhi dunia, tidak suka diperhati dan dikenali, menjauhkan diri dari segala ketamakan dan dari segala perkara yang tidak membawa kedekatan dirinya kepada Allah. Itulah pakaian dalaman bagi seorang sufi.

Justeru itu apa jua perkara yang membuatkan dirinya dilihat mulia baik dari aspek pakaian, amalan atau kebaikan akan cuba dijauhinya sedaya yang mampu. Mereka adalah orang yang tidak mahu diketahui malah mereka akan cuba sebaiknya menyembunyikan segala aspek kebaikan yang boleh membawa orang lain untuk melihat kemuliaan dirinya. Inilah jiwa mereka.

Didiklah diri kita untuk sentiasa memandang kehinaan diri di sisi Allah. Adapun luaran kita, sesuaikanlah mengikut suasana, keadaan ataupun adab majlis agar ianya membawa kebaikan dan salaman kepada masyarakat. Namun, usul bagi batin kita tetap sama iaitu sentiasa berada di dalam perasaan kefakiran, kehinaan dan tiada merasa apa-apa kemuliaan diri. Tiada salah untuk memakai apa sahaja pakaian luaran yang mengikut syariat, tetapi ianya menjadi satu kesalahan apabila perkara luaran membuatkan hati kita merasai akan kemuliaan diri.
Maka dari sudut pandangan sufi, usul ini adalah salah kerana jalan sufi adalah kehinaan, kefaqiran, jalan orang yang sentiasa dalam keadaan khauf dan raja’ yang mengharapkan rahmat Tuhannya. Khauf itu takut ataupun berbimbang-bimbang manakala raja’ itu berharap. Berbimbang akan perkara yang boleh mendatangkan apa jua perasaan mulia buat dirinya tapi pada masa sama turut berharap agar dirinya tetap dalam jagaan dan rahmat Allah.

Andainya tidak ada di dalam jiwanya hal tersebut dan tidak menjadi pakaian batinnya, maka dia bukannya seorang sufi. Walaupun dia mengamalkan zikir, memiliki sanad ilmu, penuntut madrasah, alim pengajian kitab ataupun elok pakaiannya, tetapi dia bukannya sufi, ini adalah sufi jadian. Sufinya hanya untuk penglihatan manusia tetapi dia bukan sufi pada penglihatan Allah. Dia seorang yang mencari manusia dan duniawi di dalam tasawufnya. Dia masih mencari puji-pujian, kenikmatan nafsu dan bukannya mencari Tuhan.

Seseorang yang memakai pakaian sufi tidak semestinya dia adalah seorang sufi. Seseorang yang memakai pakaian yang hebat dengan kedudukan yang hebat, dengan harta yang hebat, boleh jadi dia seorang sufi. Seseorang yang dilihat sufi, dan hidup di dalam keadaan dhaif atau zuhud, kemungkinan dia bukannya seorang sufi. Yang memiliki duniawi mungkin dialah sufi, kerana sufi itu adalah pakaian hati, bukannya pada pandangan luaran manusia.

Ramai manusia yang tertipu. Bicaranya sufi tetapi hati belum sufi. Jauh dilubuk hatinya masih mahu menikmati keindahan pujian manusia dan menikmati keindahan bahasa nafsu. Dirinya akan merasa pedih dan sakit apabila dihina oleh manusia. Seseorang yang tidak jujur dengan dirinya mustahil akan jujur dengan manusia. Jujur dengan dirinya bermakna jujur dengan Tuhan. Andainya dengan Tuhan tidak jujur, mana mungkin dirinya akan berlaku jujur dengan manusia.

Oleh itu carilah sesuatu yang membuatkan mu merasa hina dalam jiwa. Beradalah di situ setiap masa walaupun Allah muliakan dirimu dengan ibadah sepanjang malam atau dengan berpuasa sepanjang tahun melainkan hari yang diharamkannya. Atau mengurniakan dirimu dengan ribuan ilmu pengetahuan, memiliki segala kemewahan, ramai yang mengelilingi mu, yang menyayangi dan mencintai mu serta ada yang memuji dirimu, tetapi beradalah dalam perasaan serba kekurangan,kedhaifan dan kefaqiran dihadapan Allah swt. Semua yang kita miliki tidak lain hanyalah pinjaman dari Allah yang bersifat sementara. Bila tercabut ruh dari jasad, maka tiada lagi pinjaman tersebut melainkan kita akan membawa “Qalbun Salim” yakni hati yang sejahtera untuk menghadap Allah Rabbul Jalil.

Nukilan Pengemis Cinta

Post a Comment

0 Comments