Selawat Tafrijiyah









Berikut adalah Selawat Tafrijiyah yang sangat berkat:

اللهم صلِّ صلاةً كاملةً، وسلّم سلامًا تامًّا على سيدنا محمّد، الذي تنحلُّ به العقد وتنفرجُ به الكرب، وتُقضى به الحوائجُ، وتُنالُ به الرغائب وحسن الخواتيم، ويُستسقى الغمام بوجهه الكريم، وعلى ءاله وصحبه في كل لمحة ونفس بعدد معلوم لك

Maksudnya: “Ya Allah, limpahkanlah selawat dengan selawat yang menyeluruh dan kurniakanlah salam dengan salam yang sempurna ke atas penghulu kami, Nabi Muhammad ﷺ yang dengannya (selawat itu) dapat merungkai segala ikatan, melepaskan segala kesukaran, melunaskan segala hajat, tercapai segala perkara yang diingini dan kematian yang baik, serta diturunkan hujan (yang menjadi rahmat) disebabkan wajahnya yang mulia. (Begitu juga selawat dan salam ini diberikan) ke atas ahli keluarga Baginda ﷺ, para sahabatnya di dalam setiap kerdipan mata dan nafas dengan setiap bilangan yang diketahui olehMu.”


Semasa musim haji 29 tahun yang lalu, telah berlaku sebuah peristiwa yang sangat menarik ke atas Tuan Guru Haji Abdullah Bukit Lada ḥāfiẓahuLlāh ketika beliau ingin menunaikan ibadah haji.

Pada tahun 1991, Tuan Guru Haji Lah ḥāfiẓahuLlāh telah dipertanggungjawab untuk memimpin 113 jemaah bagi menunaikan haji. Bersama rombongan tersebut pada ketika itu ialah al-Marhum Ustaz Hassan Syukri raḥimahuLlāh (beliau merupakan mantan Timbalan Presiden PAS, meninggal tahun 2010).

Segala urusan visa untuk ke sana, telah dikendalikan oleh pihak mereka sendiri. Perlu untuk diketahui bahawa—sebelum tahun 1991, para jemaah masih lagi dibenarkan oleh kerajaan Malaysia untuk pergi menunaikan haji; sama ada melalui urusan persedirian (Pasport Merah) atau Tabung Haji (Pasport Hijau). Maka, ramailah juga yang pergi ke Tanah Haram secara persendirian.

Malangnya, perkara tersebut sudah tidak dibenarkan lagi pada tahun yang Tuan Guru Haji Lah HZ mahu melaksanakan haji. Tetapi, makluman mengenai perkara tersebut tidak sampai kepada pengetahuan rombongan Tuan Guru Haji Lah HZ. Menyebabkan, mereka semua telah ditahan kerana tidak mempunyai pasport haji berwarna hijau.

Tuan Guru Haji Lah HZ, al-Marhum Ustaz Hassan Syukri RH berserta kesemua 113 jemaah mengambil keputusan untuk duduk sementara di Markas PAS Taman Melewar (Gombak). Dengan harapan, semoga sekatan yang telah dikenakan terhadap mereka itu akan ditarik balik dalam masa yang terdekat.

Semua orang yang bersama Tuan Guru Haji Lah HZ pada waktu itu, sudah sangat bimbang dan takut jika tidak dapat menunaikan haji.

Ketika itulah, Tuan Guru Haji Lah HZ berpesan kepada jemaah untuk mengamalkan Selawat Tafrijiyah bersama-sama. Moga-moga dengan keberkatan berselawat kepada Sayyiduna Rasulullah ﷺ, akan dimudahkan segala urusan dan hajat yang dicita-citakan.

Setiap hari mereka akan membaca Selawat Tafrijiyah, sehinggalah cukup tempoh sebulan dan 10 hari secara berterusan. Menjadikan jumlah keseluruhannya adalah sebanyak 40 hari. Kata Tuan Guru Haji Lah ḥāfiẓahuLlāh,

“Cukup 40 hari sampai durian pun boleh luruh!”

Kemudian, datanglah khabar yang mengatakan bahawa pihak Saudi telah memanggil kumpulan 113 orang tersebut untuk menunaikan haji. Waktu mereka dipanggil, ada lebih kurang seminggu lagi sebelum semua orang mengerjakan ibadah yang besar itu. Jika lewat daripada itu, semua panggilan haji bakal ditutup.

Demikianlah sedikit daripada kisah mengenai keberkatan Selawat Tafrijiyah yang diamalkan oleh Tuan Guru Haji Lah ḥāfiẓahuLlāh. Dengan berkat selawat yang disampaikan kepada Sayyiduna Rasulullah ﷺ, telah memudahkan segala-galanya bi izniLlāh.

 ( Sumber dari FB PONDOK HABIB )







Post a Comment

0 Comments